Pengertian Al Wujud

Pengertian Al Wujud

Berbalik kepada sifat wajib yang pertama bagi ALLAH Taala iaitu Al Wujud, maknanya dari segi bahasa ialah “ada”.

Dalam hal ini, wajib bagi ALLAH SWT itu ada.
Atau dalam ertikata yang lain, wajib adanya atau wujudnya ALLAH SWT itu. Pengertian wajib ini perlu kita fahami benar benar.

Wajib Pada Akal

Di dalam pengajian tauhid, wajib bermaksud wajib pada akal iaitu menghukumkan adanya sesuatu itu dengan bersandarkan perbahasan akal fikiran serta dalil-dalil dan bukti di atas ketetapan hukum itu.

Ini dinamakan wajib akal nazari iaitu khusus kita lakukan untuk menghukum sifat sifat yang wajib bagi ALLAH SWT dengan mendatangkan bahasan akal fikiran serta dalil dalil dan bukti di atas ketetapan hukum itu.

Wajib Akal Dharuri

Wajib akal nazari berbeza dengan wajib akal dharuri iaitu yang menghukum sesuatu itu tetap adanya dengan tidak perlu didatangkan dalil dan bukti melalui bahasan, seperti menghukum 1 itu separuh daripada 2. Oleh kerana wajib yang kita maksudkan pada sifat Al Wujud bagi ALLAH SWT ini adalah wajib pada akal, maka tidak diterima oleh akal akan tidak adanya atau tidak wujudnya zat ALLAH SWT itu.

Ertinya, akal hanya mahu menerima tentang adanya zat ALLAH SWT tetapi tidak mahu menerima yang sebaliknya.
Kalau ada orang yang mengatakan yang ALLAH SWT itu tidak wujud atau tidak ada, maka akal tidak sekali-kali mahu menerimanya. Yang akal mahu terima ialah bahawa ALLAH SWT itu ada atau wujud.

Hakikatnya, wajiblah adanya zat ALLAH SWT itu. Ia tetap ada dan benar ada, dan wajib bagi kita meyakini adanya zat ALLAH SWT itu. Jangan sampai keyakinan kita ini tergelincir kerana kalau tergelincir dengan salah satu sebab sama ada syak, zan atau waham, maka tergelincirlah aqidah kita.
Manakala aqidah kita tergelincir, akan sesatlah kita.

Zat ALLAH Tiada Siapa Yang Jadikan

Kemudian, adanya zat ALLAH itu tidak ada yang menjadikannya. Ini khususiah bagi zat ALLAH SWT sahaja.
Ertinya, bila kita katakan wajib adanya zat ALLAH SWT itu, pengertian “ada” di sini adalah ada yang tidak ada yang menjadikan-Nya. Tidak seperti adanya benda benda lain seperti makhluk dan alam ini.

Misalnya, bila kita sebut diri kita ini bersifat ada, maksud “ada” di sini ia lah bahawa adanya diri kita ini disebabkan ada yang menjadikannya.
Kalau tidak ada yang menjadikannya, maka tidak adalah diri kita ini. Namun seluruh makhluk dan alam ini, termasuklah diri kita, tidak pula boleh kita katakan tidak ada. Semua itu ada, tetapi adanya adalah disebabkan ada yang menjadikan. Dan yang menjadikannya ialah ALLAH SWT.

Hanya wujudnya atau adanya ALLAH SWT itu sahaja, tiada siapa yang menjadikan. Berbeza sekali dengan wujudnya makhluk yang telah ada ini. Bukan saja adanya ALLAH SWT itu tidak ada siapa yang menjadikannya, malah wujudnya zat ALLAH SWT itu juga bukan dikeranakan oleh sesuatu sebab.

Ertinya, adanya atau wujudnya zat ALLAH SWT itu tidak bersebab sebagaimana kejadian makhluk atau seluruh alam ini. Makhluk atau seluruh alam ini disebut juga sebagai ‘baharu’.

Baharu di sini bererti ‘selain daripada ALLAH’ atau masiwallah.Yang baharu adalah seperti manusia, haiwan, tumbuh tumbuhan, bukit bukau, gunung ganang, laut, ikan, binatang yang melata, seluruh langit dan isi langit, seluruh bumi dan isi bumi, seluruh yang ada di antara langit dan bumi, alam ghaib termasuklah Alam Kubur, alam Akhirat, alam Jabarut, dan lain-lainnya.

Kita katakan bahawa semua itu ‘baharu’ kerana ia ada yang membaharukan atau yang menjadikan. Itulah ALLAH SWT.

WujudNya Tanpa Sebab

Jadi perlulah kita fahami benar-benar akan hakikat wujudnya ALLAH SWT, iaitu tanpa bersebab. Tidak seperti kejadian setiap yang baharu yang semuanya dikeranakan oleh satu satu sebab. Seperti misalnya, adanya kita ini disebabkan oleh adanya ibu bapa. Ertinya, perkahwinan menyebabkan lahirnya zuriat.
Atau dalam perkataan lain, bolehlah kita katakan, lahirnya zuriat itu disebabkan oleh perkahwinan.

Sama jugalah dalam kejadian kejadian yang lain seperti kenyang disebabkan oleh makan, hilangnya dahaga disebabkan oleh minum, kaya disebabkan berusaha bersungguh sungguh, kejayaan disebabkan jihad dan perjuangan yang gigih, mati disebabkan oleh sakit, dan begitulah seterusnya.

Tiap tiap sesuatu itu terjadi kerana ada sebab sebabnya.
Cuma Allah sahaja yang adanya tidak bersebab.
Barangsiapa mengatakan kejadian ALLAH SWT itu ada sebab sebabnya, dia telah melakukan satu pembohongan yang paling besar. Pembohongan yang demikian adalah pengakuan sesat, dan sekiranya dia mati tanpa sempat memperbetulkan pengakuannya, dia akan terjerumus ke dalam Neraka, kekal abadi di dalamnya, wal’iyazubillah.
… bersambung..

Advertisements

Posted on March 29, 2019, in Tazkirah. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: